Bila bercakap soal tangisan bayi, kita tidak akan terlepas akan
kelaziman sesetengah masyarakat atau individu mengaitkannya dengan unsur
mistik. Terutama bila bayi kerap menangis atau resah dan cerewet
berlebihan di waktu lewat petang membawa ke malam hari.
Saya tidak akan mengulas mengenai kesahihan kaitan tangisan bayi dengan
unsur mistik, gangguan hantu dan sebagainya. Ia di luar bidang
pengetahuan saya. Bagaimanapun, dari sudut saintifik, memang ada
penjelasan konkrit bagi perkara ini.
Adakah normal bayi lebih banyak menangis dan resah pada waktu di nyatakan? Jawapannya, ya! Waktu-waktu begini dikenali sebagai ‘the witching hour’. Berasal daripada perkataan ‘witch’ (sihir), the witching hour mendapat
namanya kerana seperti kebanyakan komuniti dan budaya di seluruh dunia,
menjadi kelaziman orang ramai mengaitkan bayi yang kuat menangis pada
waktu-waktu tersebut sebagai ternampak hantu atau terkena sihir yang
ditaburkan ahli-ahli sihir yang banyak berterbangan dalam jam-jam
tersebut.
Agak lucu juga bukan? Namun, dari sudut saintifik, penjelasannya agak
mudah. Ada dua punca utama secara amnya bayi lebih banyak menangis pada
waktu-waktu tersebut;
- ‘Overtired’ atau kepenatan berlebihan setelah melalui satu hari yang panjang. Lebih-lebih lagi bayi kecil amat mudah berasa letih dengan pelbagai bentuk stimulasi dari sekeliling dan aktiviti harian melalui bunyi, sentuhan dan cahaya. Bayi yang tidak mendapat tidur siang yang mencukupi akan lebih lagi merasa kesannya. Ia perkara besar bagi bayi kecil yang tidak mempunyai kemahiran mententeramkan diri sendiri. Maka, penting bagi ibu bapa mula menidurkan bayi atau mengurangkan jumlah stimulasi sebelum bayi terlalu mengantuk, letih atau rimas. Perbuatan menguap dengan kerap, menggosok mata dan hidung atau hilang minat bermain dan berinteraksi adalah antara petunjuk bayi sudah terlalu penat. Kebiasaannya, bayi akan mengamuk dan seakan-akan menolak sebarang usaha menidurkannya pada fasa overtired ini kerana sistem badannya mengesan bahawa fasa mengantuk dan perlu ditidurkan segera telah berlalu walau hakikatnya bayi memang amat letih.
- Keperluan kepada ‘cluster feed’. Ia merujuk kepada perbuatan menyusukan bayi dengan kerap iaitu pada setiap jam atau kurang dari itu. Ia seolah-olah bayi ingin membuat stok sebelum tidur malam yang panjang. Ia adalah perkara normal bagi beberapa bulan awal dalam kehidupan bayi kerana tubuhnya mengalami fasa tumbesaran yang pesat. Maka, keperluan kalori dan nutrisinya juga meningkat. Cluster feed serta beberapa amalan di waktu siang yang lain, dengan tujuan membantu bayi tidur lebih lena di malam hari memang dapat membantu mengelakkan bayi terjaga malam pada setiap dua jam untuk menyusu.
0 Response to "Jam Berhantu?"
Post a Comment